ALOR SETAR: Tiga lelaki dikhuatiri sesat selepas gagal menemui laluan keluar ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Keriang dekat sini, hari ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada 4.59 petang tadi.

"Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kecemasan terkandas di gunung dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar telah ke lokasi berkenaan.

"Maklumat awal, tiga mangsa itu telah mendaki gunung berkenaan pada pukul 6 pagi bersama rakan mereka yang lain. Rakan-rakan mereka yang lain telah turun ke kaki gunung bagaimanapun ketiga-tiga mangsa masih tidak turun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Malim Gunung juga telah melakukan pencarian awal sebelum ketibaan pihak bomba bagi mengesan kesemua mangsa namun gagal.

"Kesemua mangsa masih boleh dihubungi dengan talian telefon. Pihak bomba yang sampai telah melakukan pencarian tetapi belum menjumpai ketiga-tiga mangsa yang masih belum diketahui umur mereka.

"Pasukan Multi Skill Team (MUST) telah dikerah ke lokasi untuk melakukan operasi pencarian dan bantuan pencahayaan juga turut digunakan. Operasi pencarian masih berjalan," katanya.

-- BERNAMA